Masam Masin Maxwell
Utusan Malaysia
''RM1j Baiki Dua Sekolah Rosak Banjir''
Oleh WAN SYAMSUL WAN SEADEY
KUALA LUMPUR 14 Jun – Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan bantuan sebanyak RM1 juta untuk membaik pulih kerosakan yang dialami dua buah sekolah di sini aki- bat banjir besar di ibu negara, Sabtu lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell di Jalan Tun Ismail dan Sekolah Kebangsaan (SK) St. Theresa di Brick- fields.
‘‘Bantuan itu akan digunakan sepenuhnya untuk membaiki pusat sumber, peralatan mengajar, komunikasi dan teknologi maklumat (ICT), perabot, dinding dan pendawaian sekolah.
‘‘Apa yang paling penting sekarang, kita perlu pastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Maxwell di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu juga, Hishammuddin diberi taklimat oleh Pengetua SMK Maxwell, Datin Khairiah A. Majid dan Guru Besar SK St. Theresa, Sadiah Mohamed mengenai kerosakan yang dialami kedua-dua sekolah itu.
Sabtu lalu, ibu negara dilanda banjir terburuk sejak 1971 apabila beberapa kawasan dan jalan-jalan utama ditenggelami air sehingga satu meter.
Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuk Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul.
Hujan lebat sejak kira-kira pukul 7 malam itu juga menyebabkan air naik sehingga ke paras pinggang atau kira-kira satu meter di beberapa kawasan termasuk di Bangunan Sultan Abdul Hamid, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka.
Hishammuddin berkata, masalah itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat pasca kabinet kementeriannya dan akan diatasi dalam masa singkat.
‘‘Tetapi buat masa sekarang, saya mahu pihak sekolah mengutamakan dahulu pembelian buku-buku dalam masa terdekat ini terutama untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan,’’ katanya.
Hishammuddin turut kagum dengan kerjasama yang ditunjukkan antara pelajar, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membersihkan kawasan sekolah yang berlumpur selepas banjir.
‘‘Saya turut berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) yang turut membantu.
‘‘Pihak JPWPKL juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan terperinci kerosakan yang dialami kedua-dua sekolah ini,’’ ujarnya.
Beliau berkata, proses membaik pulih sekolah tersebut juga akan dibuat seiring dengan pembinaan blok baru untuk kegunaan pembelajaran.
‘‘Pembinaan blok baru itu sudah diluluskan dan akan didirikan sekali dengan proses membaiki bilik-bilik yang rosak akibat banjir,’’ jelasnya.